This paper summarizes the major themes found in a three-part article posted in 2010 – Refutation of Muslim Scholars’ Arguments in the Allah Controversy [See links given below].
Pengharaman Penggunaan “Allah”: Perdebatan Teologi dan Hegemoni Ideologi
Tujuan makalah ini adalah untuk membantu umat Kristian 1) memahami trajektori sejarah pertikaian tentang perkataan Allah, 2) mengenal pasti sumber-sumber sejarah, linguistik dan teologi yang menjadi alasan bagi penggunaan sah akan perkataan itu oleh umat Kristian, 3) mematahkan hujah-hujah tidak berasas yang dikemukakan oleh cendekiawan Muslim yang menuntut monopoli Muslim dalam penggunaan perkataan Allah dan 4) memahami bagaimana konsep bahasa suci menyebabkan orang bukan-Muslim tidak dibenarkan daripada menggunakan perkataan Allah.
Trajektori Sejarah tentang Cubaan Melarang Penggunaan ‘Allah’ dan Beberapa Perkataan yang Berkaitan
Keputusan Kerajaan Malaysia baru-baru ini untuk melarang orang bukan-Muslim daripada menggunakan perkataan ‘Allah’ bukan suatu keputusan ad-hoc (tanpa perancangan). Keputusan itu menyusul satu siri gerakan oleh pihak berkuasa untuk menguatkuasakan dengan berterusan polisi yang membatasi kebebasan orang Kristian. Perkara ini jelas jika kita melihat perkara ini daripada sudut pandangan sejarah yang lebih luas.
Permulaan krisis ini berlaku pada tahun 1980-an apabila para pemimpin Gereja menerima arahan daripada Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri (Bahagian Kawalan Penerbitan) yang menyatakan bahawa perkataan berikut (senarai dalam kolum pertama) tidak boleh digunakan di dalam Alkitab. Pihak berkuasa juga mencadangkan agar Gereja menggunakan perkataan lain (kolum kedua) untuk menggantikan perkataan larangan.
Perkataan Larangan // Perkataan Alternatif
Al-Kitab // BaibelAllah // TuhanFirman // Berkata
Rasul // Utusan Iman // Percaya Ibadah // Amalan |
Injil // BaibelWahyu // RevelasiNabi // Propet
Syukur // Terima Kasih Solat // Sembahyang Doa // Memohon |
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Johari Baharum, baru-baru ini mengisytiharkan bahawa hanya orang Islam boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk menggambarkan Allah yang disembah oleh mereka. Dia dilaporkan berkata, “Perkataan ‘Allah’hanya boleh digunakan dalam konteks Islam dan bukan mana-mana agama lain… Hanya orang Muslim boleh menggunakan ‘Allah’. Ia adalah perkataan Muslim. Ia daripada (bahasa) Arab. Kita tidak boleh membenarkan agama lain menggunakannya kerana ia akan membingungkan orang.”
Pengisytiharan itu boleh dipersoalkan atas sebab-sebab berikut: 1) Premisnya dan dengan itu, lojiknya salah kerana Allah (dan nama-nama tuhan yang seasal/kognat dalam bahasa-bahasa Semitik) telah digunakan sebelum kewujudan Islam, 2) ia tidak menghiraukan hakikat sejarah bahawa perkataan Allah telah digunakan oleh umat Kristian Arab/Melayu selama berabad-abad, 3) umat Kristian mempunyai hak untuk menggunakan perkataan itu kerana ia wajar secara semantik.
1) Lojik yang Salah
Lojik Timbalan Menteri mungkin boleh diterangkan seperti berikut:
(1) Jika x adalah bahasa Arab maka x milik Islam
(2) x = ‘Allah’ adalah bahasa Arab
(3) Oleh itu ‘Allah’ adalah milik Islam.
Penggunaan ‘Allah’ sebelum Islam
Masalah dengan pemikiran ini adalah premisnya yang salah (1) Lojik yang dijelaskan di atas tidak boleh diterapkan kepada istilah linguistik yang digunakan di Arabia pada zaman pra- Islam. Terutamanya, istilah ‘Allah’ yang menjadi istilah umum untuk merujuk kepada Allah yang maha agung lama sebelum Islam wujud. Bukti bagi perkara ini disokong oleh banyak karya rujukan yang berwibawa termasuklah yang berikut:
“Bahawa orang Arab, sebelum zaman Muhammad, menerima dan beribadah, mengikut suatu cara, tuhan yang maha agung yang disebut Allah – “ilah” jika bentuknya berasal daripada bahasa Arab sejati; jika berasal daripada bahasa Aramia, daripada alaha – nampaknya pasti mutlak” (Shorter Encyclopedia of Islam, ed., H. A. R. Gibb & J. H. Kramer, p. 33).
“Kultus suatu tuhan yang hanya disebut “al-ilah” dikenali di seluruh selatan Siria dan utara Arabia pada zaman sebelum Islam… Nampaknya ia sama-sama pasti bahawa Allah bukan hanya tuhan di Mekah tetapi dianggap sebagai “allah yang tinggi,” ketua dan kepala dewa-dewa Mekah,… Oleh itu, Allah bukan tuhan yang tidak dikenali atau tidak penting kepada Quraysh ketika Muhammad mula mengkhutbahkan ibadahnya di Mekah” (The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, ed. John L., Esposito, p. 76-77).
Daripada pemerhatian sejarah ini, saya dapat mengemukakan hujah berikut:
1) Pengguna yang lebih awal mempunyai hak lebih untuk menggunakan sesuatu perkataan berbanding pengguna yang kemudian
2) Umat Kristian menggunakan perkataan allah (dalam dialek-dialek serumpun Semitik) sebelum orang Islam
3) Kesimpulan: Orang Kristian mempunyai hak lebih untuk menggunakan perkataan allah berbanding orang Muslim.
Tinjauan awal tentang bukti sejarah menunjukkan bahawa bahasa Arab Quran adalah sebahagian daripada bahasa dan sastera di Timur Tengah pada waktu itu. Lagipun, tidak boleh dipertikaikan bahawa ‘Allah’ digunakan secara meluas oleh semua monoteis pada zaman pra-Islam di Arabia. Dengan itu premis –
(1) Jika x bahasa Arab maka x milik Islam
adalah salah terutama jika x (istilah Arab untuk ‘Allah’) adalah kegunaan bersama sebelum Islam. Secara ringkas, ini merupakan salah anggapan untuk menyimpulkan bahawa ‘Allah’ adalah milik Islam semata-mata hanya kerana ia dalam bahasa Arab.
Memang Quran sendiri meminjam istilah-istilah agama daripada bahasa-bahasa kognat Semitik. Perkara ini jelas kelihatan dalam fenomena kata-kata pinjaman dalam Quran.
Kata-kata Pinjaman dalam Quran
Praandaian yang utama dan dipertikaikan dalam perbalahan masa sekarang berkaitan dengan penggunaan “Allah” adalah sama ada terdapat kata-kata yang ditakrifkan oleh satu sistem linguistik yang sangat eksklusif sehingga penggunaannya adalah untuk sistem linguistik itu semata-mata.
Ternyata bahawa tiada bahasa yang murni yang dapat mengandaikan suatu masyarakat linguistik yang tertutup dan mampu diri, yang kedap daripada interaksi dengan masyarakat linguistik di sekeliling – sesuatu yang mustahil berdasarkan sejarah. Sebenarnya, bahasa Arab wujud bersama dan berinteraksi secara dinamik dengan bahasa-bahasa serumpun/kognat Semitik yang lain seperti Nabatea, Ibrani dan Aramia (Siria) dalam sejarah awalnya. Fenomena kata-kata pinjaman dalam (Quran) bahasa Arab dapat ditunjukkan untuk membuktikan hal ini. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Encyclopedia of the Quran,
Sejak zaman terawal Islam sehingga hari ini, pembaca yang memberikan perhatian penuh telah memerhati bahawa terdapat kata-kata dalam Quran yang nampaknya tidak berasal daripada bahasa Arab. Pemerhatian seperti itu, yang dirangsang oleh faktor-faktor yang berlainan, telah menjadi punca kontroversi, perbincangan dan kajian meluas dalam kesarjanaan Muslim tradisional dan Euro-Amerika.[1]
Satu kajian yang membantu dalam fenomena ini adalah buku Arthur Jeffrey, The Foreign Vocabulary of the Quran (Cairo. Oriental Institute Baroda, 1938). Arthur Jeffrey menulis dalam pendahuluannya,
Kajian yang lebih dekat tentang perkara itu [kata-kata asing dalam Quran] menyatakan persamaan yang lebih luas dan terperinci berbanding apa yang kelihatan pada permukaan, dan memberikan keyakinan bahawa bukan sahaja sebahagian besar kosa kata keagamaan, tetapi juga kebanyakan kosa kata kebudayaan Quran yang tidak berasal daripada bahasa Arab… Dengan menjejaki kata-kata ini kembali kepada punca, kita dapat menganggarkan setakat mana pengaruh yang menguasai Muhammad pada beberapa waktu yang berlainan dalam Misinya, dan dengan mengkaji istilah-istilah agama ini dalam sastera asal yang sezaman dengan Muhammad, kadang-kadang kita boleh memahami dengan lebih tepat apa yang dia sendiri maksudkan dengan istilah-istilah yang digunakannya dalam Qur’an.[2]
Pendahuluan Arthur Jeffrey itu disusuli oleh perbincangan yang sangat luas (dari mukasurat 43 – 297) tentang kata-kata pinjaman dalam Quran: Sedikit contoh kata-kata pinjaman ini termasuklah zakat, salat, jizyah, hikma, taba, shakina, malik, malak, miskat, masjid, miskin, nabi, wahyu, falak dsb.
Allah dan Istilah Semitik yang Lain untuk Allah
Perkataan Allah berasal daripada dua perkataan: al, dan ilah. Al adalah artikel pasti, dan ilah bererti kuat, dewa. Dalam bahasa-bahasa Semitik, perkataan ini merujuk kepada suatu kuasa yang di luar jangkauan manusia, suatu kuasa yang dimiliki oleh dewa-dewa. Pada zaman pra-Islam pun, al-ilah telah digabungkan menjadi Allah. Dalam agama orang Arab pada zaman pra-Islam, perkataan itu digunakan untuk melambangkan dewa yang tertinggi antara dewa-dewa lain yang masing-masing mempunyai nama. Tetapi perkataan Allah itu sendiri bukan nama, sebagaimana diterangkan nanti. Oleh itu, perkataan Allah sudah digunakan sebelum ketibaan Islam, iaitu pada waktu yang disebut ‘zaman jahiliyyah’ atau masa politeisme. Perkataan itu bukan ciptaan orang Muslim dan kewujudannya tidak bermula dengan Al-qur’an Al-karim. Daripada sudut pandangan linguistik, ia adalah perkataan Arab biasa yang tidak mempunyai hubungan khusus dengan agama tertentu.
Dari sudut etimologi dan semantik, perkataan ini juga terdapat dalam bahasa-bahasa Semitik yang lain seperti bahasa Assyria dan Babilonia, dan juga bahasa Fenisia Ugarit. Ia juga terdapat dalam bahasa Ibrani, Siria dan Aramia yang digunakan secara meluas di Timur Tengah sejak abad ke-5 SM, sehingga masa pengembangan Islam dan penyebaran bahasa Arab pada abad ke-7 TM. Akar kata bagi perkataan ini dalam bahasa-bahasa tersebut terdiri daripada dua konsonan: alif dan lam (‘l); sebutan bagi seluruh perkataan dengan vokalnya bergantung pada fonetik setiap bahasa, misalnya, ‘el dalam Ibrani, dan ‘il dalam Arab.
Leksikon standard dan karya rujukan mengesahkan pemerhatian di atas bahawa ‘Allah’ telah digunakan dengan meluas antara orang Arab pada zaman pra-Islam.
Bahawa orang Arab, sebelum zaman Muhammad, menerima dan beribadah, mengikut suatu cara, tuhan yang maha agung yang disebut Allah – “ilah” jika bentuknya berasal daripada bahasa Arab sejati; jika berasal daripada bahasa Aramia, daripada alaha – nampaknya pasti mutlak.[3]
Kultus suatu tuhan yang hanya disebut “al-ilah” dikenali di seluruh selatan Siria dan utara Arabia pada zaman sebelum Islam… Nampaknya ia sama-sama pasti bahawa Allah bukan hanya tuhan di Mekah tetapi dianggap sebagai “allah yang tinggi,” ketua dan kepala dewa-dewa Mekah,… Oleh itu, Allah bukan tuhan yang tidak dikenali atau tidak penting kepada Quraysh ketika Muhammad mula mengkhutbahkan ibadahnya di Mekah.[4]
Seorang sarjana Jepun Toshihiko Izutsu menyatakan bahawa nama Allah telah dikenali antara orang Arab kafir dan Islam dan itulah sebabnya perkara ini mencetuskan perdebatan yang sengit antara Muhamad dan penentangnya. Begitu juga Muhammad berkata-kata kepada penentangnya dalam nama Allah tanpa menghiraukan keperluan untuk menerangkan erti nama itu kerana kedua-dua pihak mempunyai pengertian yang sama tentang Allah sebagai merujuk kepada Allah yang maha tinggi.[5]
Yang terakhir, saya mengambil petikan daripada Kenneth Thomas, “Allah in translations of the Bible.”[6] Perhatikan bahawa Bible Translator adalah jurnal rasmi United Bible Society, dan tanpa dipertikai lagi badan inilah yang paling berwibawa di dunia terhadap hal-hal berkaitan dengan terjemahan Alkitab.
“… orang Arab menggunakan perkataan Allah untuk tuhan yang tertinggi sebelum zaman Muhammad. Inskripsi Allah telah ditemui di Utara dan Selatan Arabia seawal abad kelima SM. Umat Kristian telah menggunakan perkataan Allah sejak zaman pra-Islam, dan Allah telah digunakan dengan terus-menerus dalam terjemahan Alkitab bahasa Arab sejak versi terawal yang diketahui pada abad kelapan sehingga hari ini. Satu terjemahan Perjanjian Baru dalam bahasa Arab yang menggunakan perkataan itu kemungkinan sekali wujud sebelum Islam.”[7]
Dengan keterangan daripada interaksi sejarah yang tidak dapat dinafikan serta peminjaman istilah antara bahasa, kesimpulan dapat diambil bahawa dakwaan yang menyatakan Islam boleh menguasai beberapa istilah agama tidak dapat diwajarkan, dan hal itu tidak munasabah. Apa yang dipinjam pada mulanya tidak boleh dikatakan hak cipta sendiri.
2) Penggunaan Kristian akan perkataan Allah berdasarkan Penggunaan Bersejarah selama Berabad-abad
Kita perhatikan fakta bersejarah berikut yang tidak dapat dinafikan:
1) Allah adalah padanan bahasa Arab bagi nama-nama Allah bahasa Ibrani di dalam Perjanjian Lama: El, Elohim, Eloah di dalam Perjanjian Lama Ibrani. Oleh itu, orang Kristian yang menggunakan bahasa-bahasa Semitik (Nabatea, Siria, Arab) meminjam nama-nama tuhan ini untuk memanggil Allah lama sebelum kedatangan Islam. Maksudnya, penggunaan Kristian akan nama Allah adalah lebih lama daripada Islam sendiri.
2) Allah ialah perkataan yang digunakan untuk Allah dalam semua versi Alkitab Arab bermula daripada Alkitab Arab lama hingga Alkitab Arab moden (Versi Arab Masa Kini).
3) Umat Kristian di negara-negara di seluruh Timur Tengah (orang Arab) – dari Morocco sampai ke India (orang India) sampai ke Indonesia (Melayu) berkongsi warisan linguistik yang sama apabila mereka terus menggunakan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Allah.
4) Dari segi sejarah, amatlah bermakna dan penting bahawa penggunaan perkataan Allah melambangkan tradisi sejarah yang tidak pernah putus sejak permulaan kekristianan dalam bahasa Melayu – seperti yang dibuktikan oleh edisi Alkitab bercetak: edisi bercetak Injil Matius dalam bahasa Melayu (A. C. Ruyl, 1629), dua Alkitab Melayu lengkap (M. Leijdecker, 1733 dan H. C. Klinkert, 1879. Penggunaan Allah pada hari ini disokong secara rasmi oleh Gereja-gereja tempatan dan Pertubuhan Bible nasional.
Lembaga Alkitab Indonesia (LAI) mengambil kesimpulan:
Seperti yang jelas kelihatan daripada contoh-contoh di atas, istilah “Allah”, yang hanya baru-baru ini dipertikaikan oleh sebahagian masyarakat Kristian, telah digunakan selama beratus-ratus tahun dalam terjemahan Alkitab yang telah diedarkan di seluruh kepulauan. Singkatnya, apabila mereka terus menggunakan istilah “Allah”, kumpulan penterjemah daripada Lembaga Alkitab Indonesia (LAI) mempertimbangkan nilai sejarah dan juga proses penterjemahan lintas budaya yang telah pun terbukti dalam Alkitab sendiri (rujuk laman web rasmi LAI untuk penjelasan lanjut).
Penting untuk mempertahankan doktrin Tritunggal
Terdapat salah faham umum bahawa orang Kristian sepatutnya mengelakkan kontroversi dengan tidak menggunakan perkataan Allah dan menggantikannya dengan perkataan Tuhan. Cadangan ini tidak boleh dilaksana kerana dua perkataan itu tidak sepadan secara semantik. Memang kedua-dua perkataan itu harus digunakan untuk mengungkapkan secara penuh dan tepat akan erti Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Alkitab.
Kedua-dua istilah Allah dan Tuhan digunakan di dalam Alkitab bahasa Melayu. Dengan mengikut apa yang dilakukan oleh orang Kristian Arab sebelumnya, Allah digunakan untuk menterjemahkan el/elohim dan Tuhan (atau TUHAN huruf besar) digunakan untuk menterjemah Yahweh (YHWH). Kadang-kadang dua perkataan itu dipasangkan sebagai Yahweh-Elohim dalam 372 tempat dalam Perjanjian Lama (14 kali dalam Kejadian 2-3; 4 kali dalam Keluaran; 8 kali dalam Yosua; 7 kali dalam 2 Samuel; 22 kali dalam Tawarikh; 12 kali dalam Mazmur; 32 kali dalam Yesaya; 16 kali dalam Yeremia dan 210 kali dalam Yehezkiel dsb.).
Perkara yang lebih penting adalah firman Tuhan diterapkan juga kepada Yesus Kristus dalam Perjanjian Baru. Oleh itu TUHAN Yesus dibaca sebagai Tuhan Yesus (Firman TUHAN digunakan untuk menterjemahkan perkataan kurios 8400 kali dalam Septuaginta, versi Yunani Perjanjian Lama. Ia hanya merujuk kepada manusia sebanyak 400 kali dan merujuk kepada Allah sebanyak 8000 kali. Dalam 8000 kali, 6700 adalah pengganti perkataan YHWH). Penerapan gelaran kurios TUHAN/YHWH kepada Yesus Kristus adalah kesaksian tentang kepercayaan dalam ketuhanan Kristus sejak permulaan agama Kristian.
Tinjauan statistik yang sederhana ini menunjukkan bahawa tuntutan orang Muslim yang mengadakan bantahan di jalan raya untuk menuntut supaya orang Kristian menggantikan perkataan Allah dengan Tuhan adalah tidak munasabah kerana jika demikian, ia menjadikan rujukan-rujukan dalam Alkitab kepada Allah dan Yesus Kristus tidak teratur dan kurang padu. Pertama, penggantian itu tidak betul kerana erti Allah dan Tuhan adalah berbeza. Kedua, ia mewujudkan keadaan yang pelik apabila orang Kristian cuba menterjemahkan pasangan kata Tuhan Allah. Adakah orang Kristian kini diharuskan untuk berseru kepada Tuhan Tuhan? Ini kedengarannya pengulangan yang tidak perlu secara linguistik. Lebih teruk lagi, kata-kata yang diulang itu, Tuhan Tuhan, difahami oleh pembaca bahasa Melayu sebagai andaian bahawa orang Kristian percaya kepada banyak Tuhan/Allah (kerana bentuk jamak dalam bahasa Melayu diungkapkan dengan mengulangi kata nama dan dalam bentuk aposisi). Akhirnya, orang Kristian tidak dapat mengungkapkan ketuhanan Yesus Kristus sebagai berbeza daripada Bapa, namun Dia berkongsi dengan Allah Perjanjian Lama, nama yang di atas segala nama – kurios/Tuhan (Filipi 2:9, bd. Yesaya 45:23). Dengan kata lain, orang Kristian tidak dapat mengakui ketuhanan Yesus Kristus dan mengajarkan doktrin Tritunggal tanpa kata-kata asas yang mengekalkan hubungan semantik antara perkataan Allah dan Tuhan sebagaimana penerapannya yang berlainan dalam Alkitab bahasa Melayu.
3) Orang Kristian Mempunyai Hak untuk Menggunakan Perkataan itu kerana ia Sesuai Secara Semantik
Allah bukan Kata Nama Khas
Satu alasan utama bagi seruan untuk menghalang orang Kristian daripada menggunakan perkataan Allah adalah dakwaan bahawa ia nama peribadi atau kata nama khas, iaitu ia merupakan nama yang secara khusus dikaitkan dengan Allah Islam, bd., Mohd Sani Badron (ms. 2) dan Khadijah (5:6):
Selain itu, istilah Allah adalah mushtaq iaitu kata nama khas. Ini kerana sekiranya istilah Allah digandingkan dengan istilah “Ya” dalam bahasa Arab yang bermaksud kata seruan “Wahai”, istilah Allah tetap kekal. Huruf “alif”, “lam” dan “lam” sebagai konotasi kata nama khas tidak boleh dibuang. Ia tidak boleh disebut sebagai “Ya Lahu”. Ini berbeza dengan kalimah “Al-Rahman” yang merupakan antara sifat Allah iaitu pengasih/penyayang. Apabila ia digandingkan dengan istilah “Ya”, alif lam makrifah (kata nama khas) wajar dibuang dan menjadikannya sebagai “Ya Rahman”. Ini membuktikan bahawa istilah Allah adalah kata nama khas atau mushtaq. (Ibn Manzur, t.t.) Khadijah (5.6).
Bagaimanapun, dakwaan ini boleh dipersoalkan secara linguistik. Menurut linguistik, Allah adalah kata nama am walaupun ia kadang-kadang boleh berfungsi sebagai kata nama apelatif/gelaran.
Encyclopedia Britannica mentakrifkan kata nama apelatif sebagai:
“Kata nama apelatif am (iaitu kata nama am) yang boleh digunakan untuk merujuk kepada satu kumpulan entiti boleh juga digunakan dengan rujukan tunggal. Misalnya, jika seorang penduduk Austin, Texas, berkata, “Mari pergi berenang hari ini, bukan di kolam tetapi di sungai,” tidak diragukan lagi bahawa perkataan sungai mempunyai rujukan unik, tersendiri kepada sebatang sungai, iaitu Sungai Colorado. Bagaimanapun, perkara ini tidak menjadikannya nama; “sungai” di sini adalah kata nama am, tetapi ia merujuk secara khusus kepada konteks luar linguistik”[8]
Sebagai contoh seterusnya, perkataan ‘bapa’ adalah nama am. Tetapi ia menjadi kata nama apelatif apabila seorang anak mengungkapkan penghargaan untuk bapanya pada Hari Bapa, “Bapa, engkaulah bapa yang terbaik di dunia.” Dengan cara yang sama, umat Kristian kadang-kadang berdoa, “Bapa di syurga”.
Dalam kes-kes ini, penggunaan apelatif akan perkataan ‘bapa’ mengambil ciri-ciri kata nama khas dengan konotasi (suatu idea atau perasaan yang dibangkitkan oleh perkataan sebagai tambahan kepada erti utamanya). Demikian juga, perkataan Allah boleh digunakan dengan maksud apelatif, tetapi tidaklah betul bagi Mohd Sani dan Khadijah untuk mendakwa bahawa Allah adalah kata nama khas.
Ilustrasi tersebut menunjukkan bahawa Mohd Sani dan Khadijah keliru apabila mereka menggunakan erti subjektif (konotasi) untuk menolak erti utama bagi Allah sebagai nama am. Mungkin mereka boleh memberikan hujah bahawa Allah secara subjektif memberikan rujukan spesifik, tetapi secara objektif ia bererti Allah yang agung tanpa rujukan eksklusif atau gambaran eksklusif.
Dengan itu, Allah adalah kata apelatif am (iaitu, nama am) yang boleh digunakan untuk merujuk kepada suatu kumpulan entiti. Ia juga boleh digunakan dengan rujukan tersendiri. Saya memberikan contoh (memang terhad) yang diambil daripada bahasa Inggeris. Bandingkan dua kenyataan berikut:
(1) Allah selamatkan Ratu / God save the Queen
(2) Allah selamatkan Elizabeth / God save Elizabeth
Tanpa kesangsian, apabila seorang lelaki Inggeris mengungkapkan ayat-ayat itu, dia merujuk kepada wanita yang sama. Tentu sekali, perkataan ‘Ratu’ dalam (1) adalah nama am walaupun bagi orang Inggeris, hanya terdapat seorang ratu (nama monadik, satu saja) dengan nama peribadi (Elizabeth) dalam (2). Keterbatasan ilustrasi ini adalah perkataan Ratu masih sama dalam bahasa Inggeris, tetapi kata el, Allah atau theos adalah bahasa fleksi/deklensi apabila digunakan dalam pelbagai hubungan sintaks dalam ayat.
Dalam konteks linguistik sejarah, perkataan Allah – bersama dengan kata-kata Semitik seperti Ibrani (el, elohim) dan Arab (Allah) – pada dasarnya adalah istilah am yang merujuk kepada Allah. Maksudnya, Allah bukan kata nama khas/nama peribadi. Dalam istilah linguistik, morfologi perkataan Allah adalah mengikut peraturan tatabahasa bagi kata nama am. Oleh itu, perkataan el dan Allah menunjukkan fleksi/deklensi morfologi (misalnya, bergantung pada penggunaan perkataan itu sebagai kasus nominatif, akusatif, genitif, dsb.)
Perubahan yang terlibat apabila perkataan Allah digunakan di bawah penggunaan tatabahasa yang berlainan dalam bahasa Arab menjadikannya lebih ketara sebagai bukan kata nama khas/nama peribadi:
Jika Allah adalah nama yang tidak boleh diubah, maka ia dibaca sebagai: Allah Ibrahim. Perhatikan bahawa nama itu tidak berubah di sini! Tetapi frasa yang sering digunakan adalah ilah Ibrahim. Mengapa demikian? Ini disebabkan kata nama hanya boleh mempunyai satu penentu: sama ada artikel (at-ta’rif, atau: al-), atau gantinama diri (“ku”), atau satu kata nama am yang lain. Dalam contoh “Allah Ibrahim”, “Ibrahim” adalah penentu. Ini bererti apa pun penentu yang lain harus dipotong; dalam contoh ini, artikel. Peraturan bahasa menuntut agar artikel al- dipotong daripada Allah, lalu ilah yang tinggal. Oleh itu, Allah Ibrahim menjadi Ilah Ibrahim. Tiada seorang Muslim yang menyimpulkan bahawa ilah Ibrahim itu bukan Allah, yang Esa.
Tentu sekali tiada kemungkinan untuk menggunakan Allah dalam bentuk jamak. Ia adalah perkataan dalam bentuk tunggal, sama seperti “man” juga bentuk tunggal. Tetapi pada bila-bila ia boleh berubah menjadi jamak apabila menggunakan bentuk jamak. Bentuk jamak bagi “man” adalah “men”. Demikian juga, apabila mengungkapkan bentuk jamak bagi “Allah”, perkataan “Allah” kembali kepada bentuk asalnya, al-ilah, dan bentuk jamak adalah al-aliha.
Perhatikan dua contoh yang lazim apabila perkataan ‘Allah’ melalui perubahan dalam penggunaan gramatis, dengan itu menolak dakwaan bahawa “Allah” adalah kata nama khas/nama peribadi. Setiap orang Muslim melanggar tatabahasa asas bahasa Arab untuk beberapa kali dalam sehari jika dakwaan itu benar. Mereka menggunakan ungkapan seperti “Al-hamdu li-lah” dan “bi smi-llah.”
Jika Allah ialah nama yang tidak berubah, maka orang Muslim harus berkata: “Al-hamdu li-Allah”, “bi smi-Allah” kerana dalam contoh-contoh ini, “A” pada permulaan tidak boleh diubah. Mengikut tatabahasa Arab: ia mesti “alif hamza”. Peraturan yang sama terdapat dalam bahasa Yunani (spiritus lenis- pernafasan tetap) sebelum setiap vokal yang membuka kata. Tetapi “A” dalam contoh ini bukan “alif hamza.” Lagipun ia “alif wasla”, iaitu alif yang diasimilasi dengan vokal awalan dan begitulah halnya dengan alif dalam artikel (“al-“). Dengan itu, alif bagi artikel itu hilang (diasimilasi), dan hanya “l” yang tinggal: bi smi-llah. Perubahan tatabahasa ini membuktikan bahawa “A” yang pertama dalam Allah termasuk dalam artikel al-, dan bahawa Allah adalah sama dengan al-ilah (>Allah).
Sebagai kesimpulan, perubahan tatabahasa ini menunjukkan bahawa perkataan Allah harus disesuaikan untuk mengikut peraturan tatabahasa, sama seperti nama am yang lain. Sebaliknya, nama peribadi seharusnya tetap tanpa sebarang perubahan. Dengan demikian, Allah bukan kata nama khas/nama peribadi.
Berdasarkan pemerhatian linguistik ini, orang Kristian mempunyai alasan yang kuat untuk menggunakan perkataan Allah untuk menterjemahkan perkataan ‘el’/’elohim’ dalam Alkitab kerana kedua-dua perkataan ini adalah umum secara morfologi. Perkataan ini bukan kata nama khas. Oleh sebab Allah bukan kata nama khas maka ia bukan milik mutlak Islam.
Bahasa Suci dan Terjemahan Vernakular Kitab Suci:
Mengapa Beberapa Orang Muslim Tidak Mengerti/Menerima Penggunaan “Allah” dalam Alkitab (Alkitab Bahasa Malaysia)
Bahasa Suci dan Agama Penyebaran
Beberapa orang aktivis Muslim berulang kali menuduh orang Kristian sebagai mempunyai niat yang tersembunyi apabila mereka menggunakan perkataan “Allah” termasuklah usaha untuk “membuang ciri Islam bahasa Melayu” dan untuk memasukkan orang Muslim yang kebingungan ke agama yang baru. Penting diperhatikan bahawa aktivis tersebut tidak menafikan hakikat bahawa gereja-gereja yang menggunakan bahasa Melayu telah menggunakan perkataan “Allah” dalam liturgi dan bahan-bahan pendidikan mereka selama berabad-abad. Namun, aktivis Muslim ini terus saja mengetepikan fakta sejarah, sebaliknya tuduhan mempunyai niat yang tersembunyi diulangi pula ad nauseum (sampai memuakkan). Dari manakah reaksi yang meluap-luap ini yang menenggelamkan, atau menghalang perbincangan rasional dalam pertikaian tentang penggunaan “Allah”?
Kemungkinan satu alasan utama akan sebabnya orang Muslim ini gagal mengerti, apatah lagi menerima kesesuaian orang Kristian untuk menggunakan perkataan “Allah” dalam terjemahan vernakular Alkitab berpunca daripada pemikiran mereka bahawa Arab Quran adalah bahasa suci yang tiada tandingan dan saluran pewahyuan yang paling sesuai. Sememangnya bahasa Quran adalah sui generis (unggul) dan pada prinsipnya tidak dapat diterjemahkan.
Misalnya, Seyyed Hossein Nasr dalam bukunya, Ideals and Realities of Islam, menggambarkan ciri-ciri suci Quran bahasa Arab dengan kata-kata pujian:
Bentuk Quran adalah bahasa Arab yang secara agama tidak dapat dipisahkan daripada Quran sebagaimana tubuh Kristus itu adalah daripada Kristus sendiri… bahasa Arab suci kerana ia bahagian penting dalam pewahyuan Quran sehingga bunyi dan pengungkapannya memainkan peranan dalam upacara agama Islam…
Tetapi formula Quran yang dibaca dalam doa dan upacara ibadah hendaklah dalam bahasa suci Arab yang satu-satunya dapat memampukan seseorang untuk masuk ke dalam isinya dan dibaharui oleh hadirat Ilahi dan berkat/anugerah (barakah) kitab Ilahi… Itulah juga sebabnya Quran tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa untuk tujuan upacara ibadah… (ms. 44-45).
…orang bukan-Muslim, yang membaca Quran untuk kali pertama terkejut dengan apa yang nampaknya tidak keruan mengikut pandangan manusia… Teks Quran menunjukkan bahasa manusia dihancurkan oleh kuasa Firman Ilahi… namun bukan teks suci yang tidak keruan. Manusia sendirilah yang tidak keruan dan dia harus berusaha untuk mengintegrasikan dirinya ke dalam Pusatnya supaya mesej kitab Ilahi itu menjadi jelas baginya dan menyatakan erti dalaman kepadanya (ms. 48).
Sekarang, kuasa Quran tidak terletak pada fakta sejarah atau fenomena yang diungkapkan. Ia terletak pada lambang yang sentiasa sahih ertinya kerana ia tidak berkaitan fakta dalam suatu masa tertentu melainkan kebenaran yang pada sifatnya adalah berterusan…
Mukjizat Quran terletak pada bahasa yang dimilikinya yang berkesan untuk menggerakkan jiwa manusia pada masa ini… dikatakan bahawa ujian iman seseorang adalah sama ada dia digerakkan oleh panggilan doa (adhan) setiap hari dan dikir Quran atau tidak. Kuasa ini terletak tepat pada cirinya sebagai lambang dan bukan fakta, sebagai lambang kebenaran yang penting bagi manusia di sini dan masa ini (ms. 49).
Dengan itu, bahasa suci dibayangkan untuk menanam kuasa rohani ke dalam pengabdian dan amalan Islam. Pengkonteksan iman ke dalam bentuk budaya tempatan tidak diperboleh. Sebagai agama penyebaran (bertentangan dengan terjemahan/pengkonteksan) Islam adalah pembawa utama warisan bahasa dan budaya Arab dan kejayaan dakwah Islam diukur berdasarkan pengabadian bahasa sucinya (Arab Quran) dan pembentukan budayanya. Mesej dan budaya Islam diharapkan untuk memindahkan dan menggantikan budaya dan institusi bukan Islam yang dianggap termasuk dalam zaman Jahiliyyah.
Allah tiada linguistik kegemaran!
Untuk mengakhiri – beberapa orang Muslim tidak dapat mengerti dan tiada rasa empati dengan amalan bersejarah orang Kristian untuk menterjemahkan Kitab Suci mereka ke dalam vernakular, dan ini termasuk menggunakan panggilan tempatan bagi Allah pencipta yang esa; perkara ini timbul kerana orang Muslim mengandaikan bahawa agama mesti didasarkan pada bahasa Arab yang suci dan unggul, dan ternyata dalam desakan mereka tentang doktrin Kitab Suci yang tidak boleh diterjemahkan. Selain itu, bahasa suci (Arab Quran) yang dikaitkan dengan kuasa mistik mesti dijaga daripada pencemaran linguistik. Seperti kenyataan Nasr,
Quran mempunyai ciri yang sukar diungkapkan dalam bahasa moden. Ini boleh disebut kuasa ajaib ilahi, jika seseorang memahaminya secara metafizik dan bukan secara harfiah. Formula Quran, kerana ia berasal daripada Allah, mempunyai kuasa yang tidak sama dengan apa yang kita belajar secara rasional dengan hanya membaca dan menghafaznya. Ia lebih seperti azimat yang melindungi dan memimpin manusia. Itulah sebabnya kehadiran fizikal Quran membawa berkat yang besar (ms. 51).
Tidak hairanlah, aktivis Muslim ini menuntut orang bukan-Muslim supaya dilarang daripada menggunakan ungkapan linguistik, istilah agama yang terdapat dalam Quran, perkataan seperti Allah, Firman Allah, Akhirat, Iman, Injil, Nabi, Wahyu, Salat, dsb. Terdapat kebimbangan bahawa penggunaan yang tidak wajar akan istilah-istilah agama ini, dianggap mencemarkan kesucian/kemurnian bahasa suci tersebut dan menjejaskan kuasa ‘ajaib’ bahasa suci itu.
Sebaliknya, orang Kristian melihat semua bahasa (termasuk vernakular) sebagai layak menjadi saluran dalam penyampaian mesej ilahi. Dengan kata lain, Kristian sebagai agama penterjemahan mempromosikan ciri khas budaya masing-masing dan pada masa yang sama mengakui Allah yang universal/sejagat. Bahasa vernakular dihormati sebagai berpotensi menjadi saluran pewahyuan ilahi.
Dalam bahasa yang mempunyai rasa empati, agama Kristian mengakui kemajmukan linguistik di mana semua bahasa dan budaya pada prinsipnya adalah sama rata dalam pengungkapan firman Allah. Allah tiada bahasa kegemaran! Berita Baik mesti didengar dalam semua bahasa ibunda masing-masing.
Dalam semangat yang sama, terjemahan tempatan bagi Alkitab (iaitu Alkitab Berita Baik), mengikut amalan selama berabad-abad oleh masyarakat/suku tempatan yang merujuk Allah pencipta sebagai “Allah”.
Ng Kam Weng
Kairos Research Centre
Mac 2012
TO READ THE ORIGINAL THREE-PART IN ENGLISH GO TO:
Refutation of Muslim Scholars’ Arguments in the Allah Controversy. Part 1/3 LINK
Refutation of Muslim Scholars’ Arguments in the Allah Controversy. Part 2/3 LINK
Refutation of Muslim Scholars’ Arguments in the Allah Controversy. Part 3/3 LINK
[1] Rujuk entri, “Foreign Vocabulary” ditulis oleh Andrew Rippin yang terdapat dalam Encyclopedia of the Quran vol 2 E-I ed., Jane Dammen McAullife (Brill 2002) ms. 226-237.
[2] Arthur Jeffrey, The Foreign Vocabulary of the Quran (Cairo: Oriental Institute Baroda, 1938), ms. 2, 5.
[3] H. A. R. Gibb & J. H. Kramer, ed., Shorter Encyclopedia of Islam (E. J. Brill 1995), ms. 33.
[4] John L. Esposito, ed., The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World (Oxford University Press 1995), ms. 76-77.
[5] Toshihiko Izutsu, God and Man in the Quran. Reprint ed. (Islamic Book Trust 2002), ms. 100-117
[6] Rujuk Technical Papers from the Bible Translator 52, no. 3 (July 2001).
[7][7][7][7] Kenneth Thomas menyatakan bahawa satu manuskrip yang masih ada kemungkinan wujud sebelum Islam. Rujuk A. Baumstark, “Das problemeines vorislamischen christlichen-kirchlichen Schrifttums in Arabischer Sprache,” Islamica 4 (1929/1930): 62-567, dalam Kenneth Bailey, “Early Arabic New Testaments of Mt. Sinai and the Task of Exegesis (with special focus on Sinai Ar. 72 and Luke 15),” Theological Review, XII/2 (1991):49. Rujuk juga Meira Polliack, The Karaite Tradition of Arabic Bible Translation (Leiden: E. J. Brill, 1997), ms. 6.
[8] Rujuk http://www.britannica.comEBchecked/topic/402224/name/61158/Names-and-appellatives.
Hmm… Let see your logic:
“Bukti bagi perkara ini disokong oleh banyak karya rujukan yang berwibawa termasuklah yang berikut:….
….
2) Umat Kristian menggunakan perkataan allah (dalam dialek-dialek serumpun Semitik) sebelum orang Islam”
Which part of your evidence claims that Christians use Allah prior to Islam?
The dialect of the same root? Even in Chinese, different dialect of the same pronunciation had different meaning.
“Oleh itu, orang Kristian yang menggunakan bahasa-bahasa Semitik (Nabatea, Siria, Arab) meminjam nama-nama tuhan ini untuk memanggil Allah lama sebelum kedatangan Islam.”
What evidence is there that Christian use Allah in pre-Islamic era? The earliest bible we have in Arabic is after the rise of Islam.
“Pada zaman pra-Islam pun, al-ilah telah digabungkan menjadi Allah. Dalam agama orang Arab pada zaman pra-Islam, perkataan itu digunakan untuk melambangkan dewa yang tertinggi antara dewa-dewa lain yang masing-masing mempunyai nama. Tetapi perkataan Allah itu sendiri bukan nama, sebagaimana diterangkan nanti. Oleh itu, perkataan Allah sudah digunakan sebelum ketibaan Islam, iaitu pada waktu yang disebut ‘zaman jahiliyyah’ atau masa politeisme.”
Example? The only one I can find is in Nabataean.net (graffiti), which the god ‘El and ‘Allah both appeared, perhaps refuting the claim that the word Allah came from El and any notion that contraction al + ilah = Allah is valid.
Contraction of al + ilah to Allah is not valid base on Arabic grammer. Allah and Al-ilah is different word. And Allah had been used as proper name at an early period. See Edward William Lane “Arabic-English Lexicon” (one of the best if not the best)under title “Allah” and Hastings “Encyclopedia of Religion and Ethics” under title “God (Arabian, pre-Islamic)”
On “Allah ialah nama am bukan nama khas”
not if we base on archaeological evidence. Based on archaeology, Allah is a proper noun, see nabataean.net, and Les Arabes en Syrie avant l’Islam by René Dussaud, etc. For linguistic references, see previous paragraph.
And according to The Karaite Tradition of Arabic Bible Translation: not all Jews favor Allah, some translated it as al-rabb (TUAN). Guess who favored the use of Allah.
And in all things that I have said unto you be circumspect: and make no mention of the name of other gods, neither let it be heard out of thy mouth. Exodus 23:13