Keadaan dunia ini selalu berubah. Pada hal yang sebenarnya, yang tiada berubah barang sedikit, iaitu Firman Allah yang Maha Mulia itu. Dari zaman ke zaman Allah ta’ala telah menyatakan sifat-sifat-Nya dan kehendak-Nya kepada manusia dengan perantaraan nabi-nabi-Nya itu. Tambahan pula, Firman Allah itu bukannya satu khabar yang sayup atau tak tentu bunyinya, melainkan Firman Allah sudah tersurat dengan tepat and nyata di dalam Al-Kitab yang suci. Di dalam sebahagian Al-Kitab yang digelarkan Kitab Injil itu, ada kenyataan yang lebih ajaib lagi, iaitu Firman Allah telah mengambil bentuk kemanusiaan dan masuk ke dalam dunia dalam peribadi Yesus Kristus yang tersebut namanya Firman Allah. Penjelmaan Firman Allah itu ialah suatu hakikat yang menghairankan. Perkara ini suatu rahsia yang diuraikan di dalam beberapa ayat Kitab Injil. Demikianlah maksudnya:
Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya…Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran (Yohanes 1:11, 14).
Yesus Kristus telah datang untuk mengkhabarkan Firman Allah kepada manusia. Jikalau orang yang telah dilantik Allah menjadi nabi-Nya, bersabda dengan benar dan betul, betapa lagi Ia yang digelar Firman Allah itu. Marilah kita bersama-sama menyelidik beberapa ayat daripada pengajaran Yesus Kristus tentang Firman Allah itu.
Yesus pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!”(Matius 4:17).
Dengan perkataan-perkataan ini Yesus Kristus memulai pengajaran-Nya kepada bani Israel. Ertinya, oleh sebab manusia sekalian sudah berdosa, barang siapa yang mahu masuk ke dalam kerajaan Allah memerlukan keampunan dosa. Oleh sebab dosa menjadi satu kebencian kepada Allah yang Maha Kudus, Firman Allah itu selalu membidas dosa yang ada di dalam hati manusia, seperti dalam ayat yang berikut ini:-
“Kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang” (Markus 7:21-23).
Setakat ini pengajaran Firman Allah itu tidak berbeza daripada nabi-nabi yang lain kerana semuanya sudah bersabda tentang dosa manusia. Tetapi Yesus Kristus telah datang bukannya hendak mengkhabarkan Firman Allah sahaja, melainkan hendak menunjukkan Firman itu dengan tingkah-laku-Nya yang suci, seperti nas Alkitab berkenaan dengan Yesus Kristus, maksudnya,
“Lihatlah, Aku telah datang – dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku – untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah” (Ibrani 10:7).
Tambahan pula, serentak dengan “melakukan kehendak Allah” itu bukannya sabda Yesus Kristus dan kelakuannya sahaja yang akan menggenapkan kehendak Allah yang suci itu, melainkan seperkara yang mustahak sekali dinyatakan dalam ayat yang dibawah ini, iaitu Firman Allah berkata bahawa Ia telah datang hendak menyediakan dan menyempurnakan suatu jalan selamat untuk orang-orang berdosa. Jalan yang ajaib itu menjadi kemusykilan kepada orang yang kurang faham, iaitu Yesus Kristus hendak menyerahkan nyawa-Nya menjadi suatu korban yang berkenan kepada Allah, seperti sabda-Nya sendiri yang maksudnya:-
“Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang” (Markus 10:45).
“Kemudian Yesus mula mengajar mereka bahawa Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula” (Markus 8:31).
“Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya…Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku…Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku” (Yohanes 10:11, 15, 18).
Ada juga banyak ayat yang lain lagi yang bersetuju dengan tiga ayat tersebut yang menyatakan bahawa maksud yang paling besar dalam penjelmaan Firman Allah itu ialah hendak menyempurnakan kehendak Allah.
Maka kehendak Allah itu disempurnakan sehabis-habis sampai tiada terhingga lagi tatkala Firman Allah sudah menyerahkan nyawa-Nya di kayu salib itu.
“Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Yesus Kristus, sekali untuk selama-lamanya… Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan… setelah ada pengampunan, tidaklah ada lagi persembahan untuk menebus dosa”(Ibrani 10:10-18).
“Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita (Roma 5:8).”
Di dalam Kitab Injil beratus-ratus ayat bersetuju menyaksikan bahawa Yesys itu sudah mati sebagai korban di-kayu salib. Tambahan pula, di dalam Taurat dan Zabur segala nabi telah meramalkan kematian Yesus Kristus seperti rahsia yang mereka sendiri kurang faham, seperti kata Rasul Petrus demikian:
“Nabi-nabi telah mengkaji penyelamatan ini dan bernubuat tentang kasih kurnia Allah kepadamu. Roh Kristus yang ada pada nabi-nabi bernubuat tentang penderitaan Kristus dan kemuliaan-Nya kelak. Mereka berusaha untuk mengetahui bila dan bagaimana perkara itu akan terjadi” 1 Petrus 1:10-11).
Ertinya nabi-nabi purba kala itu diilhamkan Allah menulis beberapa perkara yang akan disampaikan dalam kematian Yesus Kristus, sungguh pun nabi-nabi itu sendiri tidak boleh mengerti rahsia yang dalam itu. Tetapi kemudian daripada korban Yesus Kristus itu, barulah hamba-hamba Allah mengerti perkara-perkara yang tersurat beratus-ratus tahun terdahulu itu, seperti di-khabarkan oleh Rasul Petrus demikian:
“Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus orang Nazaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan tanda yang dilakukan Allah melalui-Nya dalam kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu. Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana. Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya” (Kisah Para Rasul 2:22-25).
Hai pembaca yang terhomat. Sila perhatikan perkara-perkara ini! Kematian Yesus Kristus sebagai korban yang sempurna kerana dosa manusia itu ditelaahkan oleh nabi-nabi Tuhan sejak zaman ke zaman sebagai suatu rahsia. Kemudian, Firman Allah itu sendiri mengajar banyak kali bahawa Ia mesti mati sebagai korban dan dalam pengajaran-Nya rahsia itu telah dihuraikan. Setelah Yesus Kristus mati tersalib, Rasul Petrus telah mengakui seperti ayat-ayat di atas, iaitu, dengan takdir dan pengetahuan Allah, Yesus Kristus itu telah mati sebagai korban. Akan tetapi, sampai hari ini juga ada beberapa orang yang berani mendustakan pengakuan nabi-nabi Tuhan, dan pengakuan Firman Allah sendiri, dan kesaksian segenap Alkitab (iaitu Taurat, Zabur dan Injil) serta berkata “Yesus Kristus itu tidak mati tersalib!” Di dalam risalah yang kecil ini kami tidak dapat manyampaikan semua bukti yang membuktikan kematian Yesus Kristus itu, tetapi marilah kita nerenungkan hal ini. Bolehkah nabi-nabi Tuhan itu berbohong atau merekakan sabdanya? Tidak sekali-kali. Bolehkah Firman Allah membawa khabar dusta kepada manusia dengan Nama Allah? Mustahil! Mahukah rasul-rasul Jesus Kristus itu bersaksi yang palsu dan mati dengan sengsaranya oleh sebab kemarahan orang Yahudi itu? Mana boleh!
Akan tetapi, khabar dari hal kematian Yesus Kristus pada kayu salib itu sungguh pun dibuktikan dengan jelasnya, menjadi hampa dan tidak berguna kepada seorang pun jikalau Yesus Kristus tiada dibangkitkan pula dari antara orang-orang mati! Tetapi dalam kesaksian Rasul Petrus diatas tadi, ia telah berkata,
“Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya” (Kisah Para Rasul 2:24).
Dan suatu ayat lagi yang bersambung dengan ayat di atas, maksudnya,
“Allah telah membangkitkan Yesus ini dan kami semua menyaksikannya” (Kisah Para Rasul 2:32).
Dan lagi Rasul Paulus bersaksi,
“Bahawa Kristus telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; bahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;… Selepas itu, Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa” (1 Korintus 15:3-6).
Jika demikian dengan kematian dan kebangkitan Yesus Kristus itu, apakah maksudnya? Suatu ayat yang lain lagi menerangkan faedah dan akibat khabar tersebut itu, demikianlah maksudnya.
“Oleh itu, Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi mereka” (Ibrani 7:25).
Ertinya dengan takdir dan pengetahuan Allah, Yesus Kristus itu telah turun ke dunia, serta menjelma menjadi manusia dengan tujuan menyerahkan nyawa-Nya menjadi suatu korban yang sempurna di atas kayu salib itu kerana dosa-dosa manusia. Kemudian Ia telah dibangkitkan pula dan telah naik kembali ke syurga. Disitu Firman Allah itu sekarang berada sebagai seorang Penyelamat atau Pengantara yang sentiasa hidup untuk mewakili orang berdosa. Inilah satu-satunya jalan selamat yang sempurna, seperti yang terdapat dalam ayat lain, ertinya.
“Kristus juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang benar telah menderita untuk orang yang tidak benar supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh” (1 Petrus 3:18).
Tujuh ratus tahun sebelum penjelmaan Yesus Kristus itu, seorang Nabi yang termasyhur, iaitu, Nabi Yesaya telah bersabda demikian,
“Demikianlah Firman yang Kusampaikan: ia tidak akan kembali kepada-Ku dengan sia-sia melainkan akan melaksanakan apa yang Kukehendaki dan berhasil dalam apa yang Kusuruh kepadanya” (Surat Nabi Yesaya 55:11).
Jikalau demikian kiranya tentang Firman Allah oleh lidah seorang nabi-Nya, betapa lebih lagi Firman Allah yang disampaikan kepada manusia oleh Ia yang tersebut nama-Nya Firman Allah. Oleh sebab kehendak Allah disempurnakan oleh Yesus Kristus, barulah manusia yang berdosa dapat diampuni serta didamaikan dengan Allah. Hanya tertinggal bahagian kita masing-masing iaitu bertaubat dengan tulus hatinya, mengaku dosa dan berbalik daripada dosa itu dan dengan gembiranya menerima keselamatan yang disempurnakan oleh korban Yesus Kristus, Firman Allah.
[Anon]
Related Post
Penerangan Ringkas Tentang Kepercayaan Kristian
FAQ: Jawapan Kepada Soalan-Soalan Orang Islam (Dikemas kini)